Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, mengesahkan kerajaan Malaysia akan meneruskan bidaan bersama negara Asia Tenggara untuk menganjurkan Piala Dunia 2034 biarpun China berminat untuk menjadi penganjur pada 2030 dan juga halangan diplomatik Malaysia-Israel.

Cadangan bekerjasama dengan 10 negara Asia Tenggara mendapat kelulusan Kabinet.

Bagaimanapun, ia mengundang persoalan mengenai pendirian Malaysia yang menolak sebarang kerjasama dengan individu dari Israel dalam semua aspek.

Malah, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) pernah membatalkan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia di Sarawak yang sepatutnya diadakan bulan depan selepas Malaysia tidak meluluskan visa untuk atlet dan pegawai Israel.

"Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menganjurkan saingan Piala Dunia bersama negara-negara ASEAN untuk memastikan bidaan itu dimenangi," katanya.

Perbincangan masih belum dijalankan bersama Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengenai mekanisme bidaan itu.

Syed Saddiq berkata KBS juga akan mengadakan rundingan dengan Duta China ke Malaysia mengenai bidaan republik itu untuk menganjurkan Piala Dunia 2030.

"Jika China menang bidaan 2030, kami perlu menunggu sehingga tahun 2038, namun mereka masih belum melakukannya secara rasmi."