Perasaan suka dalam duka menyelubungi penyerang skuad negara, Syafiq Ahmad, apabila jaringan 'supersoniknya' gagal membantu Harimau Malaya melakar kejutan ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan kekalahan tipis 1-2 dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, malam tadi.

Syafiq sekali lagi menyerlahkan kemampuannya sebagai pemain dengan 'naluri pemusnah' di depan gol.

Aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam menyaksikan dia menghasilkan jaringan seawal 34 saat pertama selepas turut menjaringkan gol ketika bertemu Indonesia di Jakarta, Khamis lalu

Begitupun, jaringannya itu gagal membantu skuad negara meraih tiga mata gara-gara kebangkitan lawan di ranking ke-65 dunia itu.

"Alhamdulillah saya dapat menghasilkan gol.

"Ini semua hasil usaha kawan-kawan dan semua yang banyak membantu daripada segi latihan dan taktikal.

"Mungkin ini rezeki saya untuk menjaringkan gol tetapi tidak dapat menghasilkan kemenangan.

"Mungkin akan ada rezeki lain di (masa) depan," katanya.

Sementara itu, pertahanan skuad negara, Shahrul Saad, mengakui berasa sedikit terkilan kerana gagal melakukan keputusan tepat yang mengakibatkan gol kedua UAE terhasil.

"Pada permulaannya, kalau kita tengok, tiada apa-apa tetapi pada waktu itu, mungkin saya fikir Matthew Davies boleh dapatkan bola.

"Saya juga mungkin teragak-agak.

"Biasalah dalam bola sepak, apabila kita melakukan kesilapan kecil, pasukan seperti UAE mengambil keputusan untuk menghukum kami," katanya.