Penyerang skuad negara, Muhammad Syafiq Ahmad, tidak menolak masih banyak kelemahan di jentera serangan yang perlu diperbaiki walaupun pemain berusia 23 tahun itu meneruskan sentuhan golnya dalam kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Fiji di Cheras, semalam.

Syafiq, yang meledak jaringan pada minit ke-20, mengakui belum puas beraksi dalam perlawanan persahabatan itu apabila terpaksa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut akibat kecederaan.

"Saya rasa bangga kerana dapat menjaringkan gol yang memberi kemenangan untuk skuad negara.

"Tetapi masih banyak yang perlu kami lakukan sebab kami tahu pasukan yang akan kami hadapi (dalam Piala Suzuki AFF) bukan calang-calang. Jadi, kami kena buat persiapan awal," katanya.

Syafiq sebelum ini turut menjaringkan gol ketika Malaysia menewaskan Bhutan 7-0, April lalu, dan ketika kalah di tangan Lubnan 2-1 pada Mac lalu.

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi penyerang negara, Muhammad Safawi Rasid, yang melabelkan ketumpulan di bahagian serangan antara punca Malaysia gagal menterjemahkan lebih banyak gol tatkala peluang beberapa kali terhidang di hadapan gawang.

"Kami perlu meningkatkan lagi penyudah dan berlatih lebih gigih lagi. Saya rasa dalam panggilan untuk skuad negara selepas ini, Insya-Allah kami boleh buat lebih baik," kata Safawi.

Kerisauan jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe, di posisi itu harus diambil serius oleh setiap penyerang bagi memperbaiki aksi untuk lebih aggresif dan mampu memberikan penyudah yang berkesan.