Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, menganggap kejayaan menundukkan Thailand 2-1 dalam perlawanan Kumpulan G, pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam sebagai hadiah paling istimewa sepanjang kariernya.

Perjalanan hidup penyerang kelahiran Gambia itu sebelum menjadi pemain bola sepak profesional amat berliku.

Hasratnya untuk meneruskan karier itu tidak pernah mendapat restu ibu dan bapanya, namun dia menerima kejutan istimewa di Stadium Nasional apabila buat kali pertama, bapanya hadir untuk memberikan sokongan dari tempat duduk penyokong.

"Hari ini merupakan hari yang amat penting buat saya.

"Ia merupakan kali pertama bapa saya hadir untuk menyaksikan saya bermain.

"Dia tidak pernah sebelum ini.

"Saya menjaringkan gol dan ia untuk penyokong, rakan sepasukan dan yang paling penting, ia buat bapa saya.

"Dia tidak pernah menyaksikannya sebelum ini, jadi saya amat gembira, ditambah kami meraih tiga mata," katanya.

Sejak melakukan penampilan sulung pada 12 Oktober 2018, Sumareh telah menjaringkan tujuh gol buat skuad megara.

Menariknya, setiap kali pemain itu menjaringkan gol, skuad negara akan memenangi perlawanan tersebut.

Sebagai rekod, gol kemenangannya ketika menentang Thailand itu merupakan gol ketiganya dalam pusingan kelayakan berkenaan selepas meledakkan dua gol ketika bertemu Indonesia di Jakarta, September lalu.

"Ia permulaan yang baik.

"Bukit Jalil adalah rumah kita.

"Kami tidak akan membenarkan pasukan lain menang mudah di sini.

"Kami akan memberikan tentangan sehabis baik kepada setiap pasukan di dunia (yang datang ke sini).

"Apabila Indonesia datang ke sini (Selasa ini), kami akan melakukan perkara sama, berjuang untuk tiga mata, Insya-Allah," tambahnya.