Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas sumbangan besar baginda selaku anggota majlis eksekutif badan induk bola sepak dunia itu di antara 2015 dan 24 Januari lalu.

Sultan Abdullah yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan peletakan jawatan baginda kepada FIFA menerusi sepucuk surat bertarikh 8 Februari lalu selepas baginda diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, 31 Januari lalu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada tuanku atas perkhidmatan cemerlang serta tidak ternilai kepada FIFA dan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha tuanku dalam mempromosikan bola sepak, melindungi integritinya serta menyebar luas sukan itu kepada semua selain membangunkan institusi yang lebih kukuh di negara tuanku, rantau dan dunia,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Infatino mendedahkan Seri Paduka Baginda terlibat sebagai anggota jawatankuasa dalam pelbagai kejohanan yang disokong FIFA sejak 1994.

Antaranya ialah anggota Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Bola Sepak Olimpik FIFA (1994-1998); Jawatankuasa Fairplay dan Tanggungjawab Sosial (1994-2002); Jawatankuasa Strategik (1998-2002); serta Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan bagi tempoh 1999-2002 dan 2007-2012.

Sultan Abdullah juga terlibat dalam Jawatankuasa Etika (1999-2002); Jawatankuasa Penganjur Piala Konfederasi FIFA (2002-2007); Jawatankuasa Bola Sepak (2012-2017); Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia FIFA; Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia FIFA B-20 dan Jawatankuasa Persatuan Anggota (2015-2017).

"Menerusi pembabitan dalam dunia bola sepak selama lebih 25 tahun, tuanku memberi sumbangan ketara kepada pembangunan bola sepak dan juga usaha promosi sukan ini serta nilainya di seluruh dunia,” kata Infantino lagi.

Dalam surat itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Sultan Abdullah susulan pengisytiharan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sultan Abdullah, 59, melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam satu istiadat di Istana Negara, 31 Januari lalu.

-- BERNAMA