Pengendali skuad bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Perak, Chan Wing Hong, tidak berasa gentar dengan penampilan pertamanya sebagai jurulatih di pentas final, hari ini.

Wing Hong yakin dengan barisan kendaliannya dan percaya mereka akan mengerah segala kudrat untuk memastikan emas ketiga berturut-turut buat Perak.

Wing Hong, yang kini juga penolong jurulatih PKNP FC dalam Liga Super, yakin beliau sudah bersedia berlandaskan pengalaman sebagai jurulatih bersama Datuk M. Karathu dan Abu Bakar Fadzim sebelum ini.

Meskipun menyedari pengendali Kedah, Victor Andrag, mempunyai pengalaman lebih sebagai jurulatih, ia tidak menggugat semangat Wing Hong.

"Bagi saya, ini merupakan pengalaman pertama mengendalikan skuad Sukma. Saya sangat gembira kerana dapat membawa pasukan ke final," katanya.

Bekas pemain kebangsaan ini juga percaya pemain tidak akan berasa tertekan dengan harapan tinggi peminat Perak.