Biarpun melangkah ke peringkat separuh akhir, jurulatih bola sepak Perak, Chan Wing Hong, tetap bengang dengan sikap culas anak buahnya yang memilih cara sukar untuk menang ketika berentap dengan Wilayah Persekutuan, semalam.

Pada mulanya, Perak selesa memimpin permainan dengan kelebihan 3-1 dan hanya dipisahkan lima minit lagi dengan waktu permainan sebenar untuk mara ke pusingan separuh akhir.

Namun, kekurangan fokus menyaksikan mereka dihukum oleh Wilayah Persekutuan untuk menjaringkan dua gol bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Biarpun selepas itu tuah tetap berpihak kepada tuan rumah, Wing Hong yang juga bekas pemain kebangsaan mengharapkan anak buahnya segera membuang sikap tersebut tatkala menanti mereka dalam separuh akhir adalah Sabah yang sebelum itu menyingkirkan Pahang di peringkat suku akhir.

"Inilah bola sepak. Apabila sesebuah pasukan mendahului selesa, mereka cenderung untuk bertahan tetapi saya tidak mengarahkannya.

"Saya mahu mereka terus menyerang kerana kami perlu mendapatkan satu lagi gol bagi membunuh semangat juang Wilayah Persekutuan.

"Apapun, tahniah kepada pemain kerana berjuang sehingga minit terakhir untuk melangkah ke separuh akhir," ujar beliau.

Wira pasukan Perak pada malam itu milik Muhammad Alif Rieza yang menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-120 untuk mengelakkan perlawanan diakhiri dengan penentuan sepakan penalti.

Ironinya, ini merupakan penampilan keduanya sebagai pemain simpanan di peringkat kumpulan dan juga gol sulungnya dalam temasya ini.

"Saya masuk nak menang dan bukannya untuk melengahkan masa.

"Saya mengambil kesempatan terhadap peluang yang terhidang untuk melakukan rembatan bagi menghasilkan gol," kata Alif.