Tiga pemain bola sepak Terengganu dan Johor yang dilayangkan kad merah susulan pergaduhan pada aksi di Sukan Malaysia Perak (Sukma 2018) dikenakan penggantunggan tiga perlawanan termasuk satu perlawanan secara automatik.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan media menegaskan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mereka mengulangi kesalahan sama.

Tiga pemain Terengganu iaitu Mohammad Rahmat Makasuf, Mohamad Shafawi Mohamad dan Muhamad Fakrul Wahid dikenakan tindakan selepas melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM akibat tindakan berkelakuan ganas dengan menumbuk dan menendang pemain pasukan Johor.

Penggantungan tiga perlawanan itu melibatkan perlawanan antara Terengganu melawan Wilayah Persekutuan pada 12 Sept (penggantungan perlawanan secara automatik), Terengganu melawan Perlis (hari ini) dan aksi separuh akhir jika layak.

Jika tidak layak ke separuh akhir, penggantungan akan dibawa ke Perlawanan Rasmi pertama yang berikutnya.

Pasukan Johor telah tersingkir daripada saingan bola sepak Sukma 2018 selepas perlawanan itu berakhir dengan Terengganu menang tipis 2-1 ke atas Johor, maka penggantungan tiga perlawanan yang dikenakan dibawa ke tiga Perlawanan Rasmi pertama.

Tiga pemain Johor yang menerima hukuman itu ialah Mohamad Hariz Kamarudin, Nur Ismail Sukandar dan Muhammad Azrul Haziq Aminuddin.

Terdahulu, pada 10 Sept di Stadium UPSI Tanjung Malim, aksi antara Terengganu dan Johor dicemari dengan insiden pergaduhan pada masa tambahan yang berpunca daripada provokasi tolak menolak sebelum seorang pemain Johor didakwa mula menendang pemain Terengganu sehingga menyebabkan keadaan menjadi sedikit kecoh.

Insiden itu juga menyebabkan seorang penjaga garisan yang cuba mententeramkan keadaan terjatuh selepas ditolak beberapa pemain.

-- BERNAMA