Tidak mengenal erti putus asa dan semangat juang tinggi menjadi kunci kejayaan Perak membenam Kedah 2-1 malam tadi, sekali gus menjuarai acara bola sepak buat kali ketiga berturut-turut dalam Sukan Malaysia XIX Perak 2018.

Jurulatih Perak, Chan Wing Hoong, berkata walaupun ketinggalan pada pertengahan babak kedua permainan, namun anak buahnya tidak gugup selain kekal fokus untuk terus mencari gol bagi memadamkan semangat juang pasukan lawan.

"Perak melakukan kebangkitan yang menakjubkan selepas ketinggalan 0-1 kepada pasukan Kedah yang kita dapat lihat bertali arus melakukan serangan.

"Ini satu perlawanan yang sukar dan selaku juara bertahan, kami punya misi untuk mengekalkan emas dalam acara yang boleh dianggap sebagai ibu segala pingat. Tahniah saya ucapkan kepada para pemain," katanya dalam sidang media sejurus selesai perlawanan malam tadi

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak itu, pasukan tuan rumah ketinggalan 0-1 pada minit ke-64 melalui sepakan percuma yang berjaya disudahkan pemain tengah Kedah, Mohd Fadzrul Danel.

Defisit berkenaan, bagaimanapun, berjaya dipadamkan pasukan tuan rumah melalui gol Muhammad Alif Safwan Mohd Sallehuddin pada minit ke-67 dan Muhamad Asyraaf Mat Punshi pada minit ke-71.

Sementara itu, pengendali Kedah, Victor Andrag, mengakui kelekaan selain beberapa peluang terhidang yang disia-siakan pemain untuk menggandakan jaringan menyebabkan Kedah terpaksa berputih mata dalam misi pemburuan pingat emas.

Katanya beliau tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain kerana setiap daripada mereka telah menunjukkan aksi yang cukup cemerlang sehingga berjaya layak ke perlawanan akhir.

"Walaupun dalam situasi mendahului pada satu ketika, namun para pemain dilihat agak leka dan sedikit keletihan. Pada masa yang sama, beberapa peluang yang dijelmakan gagal diterjemahkan ke dalam gol lawan.

"Apa pun, bagi saya, para pemain sudah buat yang terbaik dari awal, cuma mungkin nasib tidak menyebelahi kami dalam perlawanan malam ini (semalam)," katanya.

-- BERNAMA