Skuad futsal wanita Negeri Sembilan perlu mencari tonik terbaik bagi memperbaiki segala kesilapan dan mengelak diaibkan dengan jumlah gol yang besar sekali lagi setelah lolos ke peringkat suku akhir Sukan Malaysia (Sukma) 2018 atas ihsan skuad Sabah.

Saingan Kumpulan C sebelum ini menyaksikan penyertaan tiga pasukan yang terdiri daripada Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah.

Namun, Sabah terlebih dahulu menarik diri 11 September lalu gara-gara pemain mereka disyaki dijangkiti virus beguk.

Biarpun perlawanan semalam boleh diibaratkan sebagai pelengkap jadual kerana slot suku akhir sudah terjamin, jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Shafik Ezdee, tetap tidak berpuas hati dengan corak permainan anak buahnya apabila mudah diratah Melaka 2-5.

Sehubungan itu, tempoh rehat sehari akan digunakan sebaik mungkin untuk mengatur kembali strategi memandangkan skuad Jang akan membuat perhitungan dengan Selangor esok.

"Dengan strategi pengurusan dan jurulatih, saya yakin pemain akan bangkit dalam suku akhir nanti," kata Shafik.

Sementara itu, tuan rumah, Perak sudah mula memasang impian untuk menggenggam emas di laman sendiri, apatah lagi dalam aksi terakhir Kumpulan A, mereka membelasah Sarawak 7-2.

Situasi itu dilihat mampu menaikkan moral barisan anak didik Mohd Nazim Din dengan lawan menanti di peringkat suku akhir adalah Wilayah Persekutuan.

"Kekuatan kami terletak kepada perpaduan kami untuk terus maju.

"Ini tempat kami, kami nak menang," kata pemain futsal wanita Perak, Dayang Nur Natasha.