Sabah akan menurunkan kesebelasan terbaiknya dalam aksi bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 bertemu Pulau Pinang di Padang Sintetik Parit Buntar, malam ini.

Pasukan itu memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri bagi mengesahkan tempat dalam suku akhir selepas seri 2-2 dengan Melaka dalam aksi pertama tempoh hari.

Pengurus pasukan, Benedict Asmat, berkata mereka tidak mahu mengambil risiko dengan hanya menyasarkan keputusan seri, sebaliknya akan turun memburu kemenangan.

"Kami tidak memandang mudah cabaran mereka (Pulau Pinang), seperti mana aksi mereka sebelum ini. Mereka sebuah pasukan yang kuat dan kami harus bermain habis-habisan untuk mengatasi mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Benedict berkata Sabah mungkin akan membuat sedikit perubahan terhadap kesebelasan utama berikutan kehadiran semula pemain tengah, Eddey Ladius, yang sudah pulih daripada kecederaannya.

"Selain itu, kami juga mendapat semula khidmat pemain pertahanan, Gerald Gadit, yang baru pulang daripada mewakili skuad bawah 19 tahun negara mengadakan perlawanan persahabatan di Oman," katanya.

Daripada tiga pasukan Kumpulan C, Sabah dan Pulau Pinang masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan satu mata manakala Melaka di tangga teratas dengan dua mata selepas turut seri 0-0 dengan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, peluang untuk tiga pasukan itu ke suku akhir masih terbuka walaupun Melaka telah menamatkan aksi di peringkat kumpulan.

Sekiranya Sabah dan Pulau Pinang mencatat keputusan seri dengan jumlah jaringan yang besar, Melaka mungkin bakal 'gigit jari'.