Skuad Perak meneruskan pemburuan kejuaraan hatrik dalam saingan ibu segala emas, iaitu acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2018, setelah menundukkan Wilayah Persekutuan dalam suku akhir yang penuh dramatik di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.

Perak hadir dengan reputasi sebagai juara dua edisi berturut-turut sejak edisi 2014 di Perlis.

Kesungguhan mereka diterjemahkan sejak minit ke-25 apabila hantaran silang Muhammad Nazirul Afif disudahkan dengan tandukan kemas oleh Asyraf Mat Pushni untuk meletakkan Perak mendahului 1-0.

Belum sempat moral pemain Wilayah Persekutuan pulih, Perak terus menambah jaringan kedua, tiga minit kemudian hasil rembatan Alif Safwan Salahuddin.

Wilayah Persekutuan bangkit dalam babak kedua untuk merapatkan kedudukan. Berpunca daripada sepakan percuma, penjaga gol Perak, Nasrullah Abd Aziz, gagal menangkap kemas bola dan kesempatan itu diambil Tan Yu Hong untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Perak terus menjarakkan kedudukan, kali ini Alif Safwan melepasi perangkap ofsaid untuk meledak gol kedua peribadinya dalam pertemuan ini.

Tatkala Perak sudah di ambang kemenangan, Wilayah Persekutuan mencipta kebangkitan untuk meledak dua gol dalam tempoh lima minit bagi menyamakan kedudukan 3-3.

Bermula gol David a/l John Bapist pada minit ke-85, seterusnya Azman Chucu pada minit ke-90 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Ketika perlawanan kelihatan bakal berlarutan ke penentuan sepakan penalti, pemain gantian Perak, Muhammad Alif Rieza menjadi wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-120 untuk membawa pasukannya ke separuh akhir.

"Kami sepatutnya berjuang sepanjang 90 minit tetapi dibolosi selepas mendahului selesa.

"Keazaman dan kegigihan wujud dalam diri pemain untuk memenangi perlawanan ini,"
ujar ketua jurulatih Perak, Chan Wing Hong.

Menurut kapten pasukan Wilayah Persekutuan, Ameerul Eqhwan Fauzi: "Mungkin kami telah berikan (usaha) yang secukupnya untuk layak ke separuh akhir.

"Rezeki tidak menyebelahi kami, kesilapan bukan berpunca daripada segi individu, sebaliknya secara berpasukan."