Pengendali skuad bola sepak Perak dalam kempen Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Chan Wing Hoong, tidak sesekali meragui kemampuan pasukannya untuk meraih pingat emas meskipun ketinggalan satu gol ketika aksi final berdepan Kedah, malam tadi.

Kejayaan meraih emas di Stadium Perak turut membolehkan Perak memenangi emas bola sepak Sukma buat kali ketiga berturut-turut serta kejayaan pertama buat Wing Hoong sebagai ketua jurulatih.

Cabaran kuat buat mereka apabila Kedah mendahului menerusi jaringan Fadzrul Daniel Mohd Nizam pada minit ke-64.

Namun, Perak menunjukkan perwatakan juara untuk bangkit menerusi jaringan Alif Safwan Salahudin (m-67) dan Muhammad Ashraf Mat Pushni (m-70).

"Pasukan mana yang kurang melakukan kesilapan dan melancarkan lebih banyak asakan akan memenangi perlawanan ini.

"Setiap perlawanan saya membuat pertukaran membabitkan beberapa pemain dan disiplin taktikal.

"Mereka mengikuti arahan taktikal yang diarahkan, mereka akhirnya menjaringkan gol dan memenangi perlawanan ini," kata Wing Hoong.

Dalam pada itu, pengendali Kedah, Victor Andrag, akur dengan kekalahan pasukannya yang baginya berpunca daripada kesilapan mereka sendiri.

"Kami bermain bagus dan kami mampu bangkit daripada ketinggalan.

"Tetapi, kami gagal mengambil peluang yang dicipta.

"Kelekaan pada separuh masa kedua membenarkan pihak lawan menyumbat gol yang membuatkan kami dalam keadaan tidak menentu," kata bekas ketua pasukan Lang Merah itu.

Sementara itu, penjaring gol kemenangan Perak, Asyraaf, menganggap kejayaan meraih emas Sukma adalah hasil semangat juang tinggi sepasukan.

Baginya, sejak daripada peringkat kumpulan lagi, pemain-pemain menunjukkan semangat dan perwatakan juara.

Asyraaf turut mengakui sokongan peminat Perak meningkatkan motivasi pemain.

"Alhamdulillah dan syukur diberi peluang oleh jurulatih selain semangat diberikan rakan-rakan sepasukan, khususnya penyokong yang menyemarakkan semangat kami.

"Kami sangat bersyukur dapat mencipta hatrik dan mempertahankan pingat emas," katanya.