KELANTAN 1 KEDAH 2

Hajat Kelantan untuk memburu kemenangan pertama tidak kesampaian apabila kalah tipis 1-2 kepada Kedah dalam aksi kedua Kumpulan D, acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XIX di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, petang semalam.


Kekalahan kedua itu meranapkan impian Kelantan untuk mengintai peluang ke suku akhir tatkala Pahang melakar kejutan mengalahkan Selangor 2-1 dalam satu lagi aksi yang dilangsungkan serentak.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Sazami Shafi’i, memuji kebangkitan yang ditunjukkan pemainnya sehingga berjaya mendahului skuad Hijau Kuning itu seawal minit ke-11.

“Pemain memberi reaksi terbaik selepas tumpas kepada Selangor dalam perlawanan pertama. Kami beraksi dengan baik dan berjaya mendapatkan jaringan dalam babak pertama melalui Wan Ahmad Nazirul Aqmil (Wan Apandi).

"Dalam babak kedua, Kedah melancarkan serangan bertali arus dan akibat sedikit kealpaan benteng pertahanan, mereka berjaya mendapat dua jaringan sehingga tamat permainan," katanya.

Sazami yang juga bekas ketua jurulatih skuad Piala Belia Kelantan, akur dengan kegagalan ini dan menyifatkan kekalahan besar kepada Merah Kuning menjadi punca kegagalan melangkah ke peringkat kalah mati.

“Kalau pemain beraksi dengan semangat juang yang dipamerkan semasa menentang Kedah, sudah pasti kami dapat mengutip mata dalam aksi pembukaan menentang Selangor.

"Apapun, saya akur dengan dua kekalahan ini dan harap pemain dapat mencari kemenangan menentang Pahang dalam aksi terakhir kumpulan sebagai hadiah untuk dibawa pulang ke Kota Bharu."

Keputusan Kumpulan D

PAHANG 2 SELANGOR 1