Biarpun gagal ke suku akhir, Kelantan mahu memburu kemenangan pertama apabila turun menentang Pahang dalam aksi terakhir Kumpulan D acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 di Padang Majlis Perbandaran Manjung, petang ini.

Ketua jurulatih, Sazami Shafi’i, mengingatkan pemainnya agar meningkatkan prestasi untuk memberi cabaran sengit kepada skuad Tok Gajah yang cuba mencari kemenangan kedua, sekali gus mara ke peringkat kalah mati.

“Kami akur dengan kegagalan dalam Sukma kali ini. Biarpun kalah dua kali dalam kumpulan, perjuangan memburu kemenangan wajib diteruskan petang ini.

"Kami akan memberi saingan yang kuat kepada Pahang kerana sedar mereka terdesak mencari kemenangan untuk layak ke suku akhir," katanya.

Sazami, yang juga bekas ketua jurulatih skuad Piala Belia Kelantan, mahukan benteng pertahanan yang diketuai kaptennya, Ahmad Azri Ahmad Azam, merantai penyerang kembar Pahang daripada bergerak bebas.

"Kapten Pahang (memakai jersi no 7) cukup lincah menghidupkan bahagian tengah skuad Tok Gajah. Begitu juga penyerang kembar mereka yang bijak menghidu peluang menjaringkan gol.

"Apapun, saya harap pemain dapat mencari kemenangan menentang Pahang dalam aksi terakhir kumpulan sebagai hadiah untuk dibawa pulang ke Kota Bharu," katanya.

Untuk rekod, Kelantan berada di tangga tercorot Kumpulan D tanpa sebarang mata manakala Pahang masih berpeluang ke suku akhir dengan syarat menumbangkan Kelantan sambil berharap Kedah menewaskan Selangor.