SELANGOR 4 KELANTAN 0

Kelantan mengalami mimpi ngeri apabila dibelasah Selangor 0-4 dalam aksi pembukaan Kumpulan D acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, malam tadi.


Ketua jurulatih, Sazami Shafi’i, terkejut dengan keputusan itu dan mengakui segala perancangan yang dilakukan gagal diterjemahkan pemain di atas padang.

“Perlawanan agak seimbang dalam tempoh 35 minit separuh masa pertama. Malangnya, dua kesilapan mudah dilakukan pertahanan menyebabkan kami ketinggalan dua gol tanpa balas.

"Pada babak kedua, kami cuba mengubah taktikal kepada 4-4-2 dan semuanya berjalan lancar sehingga Selangor mendapat gol ketiga melalui sepakan penjuru," katanya.

Sazami, yang juga bekas ketua jurulatih skuad Piala Belia Kelantan, berharap anak buahnya melupakan kekalahan ini dan bangkit mencari kemenangan bertemu pasukan pilihan, Kedah, petang esok.

“Lupakan kekalahan ini dan saya harap pemain kembali fokus untuk memberikan aksi terbaik menentang skuad Hijau Kuning.

"Kelantan perlu bangkit segera memburu kemenangan ke atas Kedah untuk mencerahkan semula peluang ke suku akhir," katanya.

Ditanya rombakan yang bakal dilakukan selepas mengalami kekalahan dalam aksi pertama, Sazami mahu mengekalkan formasi 4-4-2 dengan membawa masuk tenaga baru bagi menyuntik kembali semangat pemain.

"Saya akan kekalkan formasi 4-4-2 (yang digunakan pada separuh masa kedua) dan membawa masuk pemain baru (simpanan) untuk memberi suntikan semangat dalam skuad ini," katanya.

Keputusan lain Kumpulan D:

KEDAH 3 PAHANG 0