Sukan SEA: Skuad bola sepak wanita Thailand akui Vietnam pencabar utama  

Oleh Staff Writer 13 Ogos 2017
Sukan SEA: Skuad bola sepak wanita Thailand akui Vietnam pencabar utama  
Skuad bola sepak wanita Thailand hanya melihat Vietnam selaku ancaman utama dalam misi mereka meraih emas acara berkenaan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Selepas tidak dipertandingkan pada edisi 2015 di Singapura, bola sepak wanita kembali tersenarai dengan Thailand menjadi pilihan.

Ia berdasarkan kejayaan skuad kendalian Steven Prior itu menjuarai Kejohanan AFF tahun lalu.

Malah, ketika kali terakhir acara ini dilangsungkan di Naypyidaw pada 2013, Thailand meraih emas dengan menewaskan Vietnam.

Pembantu pengurus Thailand, Worasing Somakate, sekali lagi menjangkakan Vietnam akan menjadi halangan terbesar mereka untuk bergelar juara.

"Sudah pasti kami menjangkakan cabaran yang sukar daripada pasukan Vietnam dan kami sedia untuk mengecewakan mereka kali ini," katanya.

Skuad bola sepak wanita Thailand tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini bersama-sama pasukan polo air.

Somakate turut menjelaskan pasukannya mempunyai persiapan yang cukup rapi bagi menghadapi saingan kali ini dengan tumpuan terarah kepada Taneekarn Dangda selaku tonggak utama pasukan.

Taneekarn adalah adik kepada kapten skuad kebangsaan senior Thailand, Teerasil Dangda.

"Persiapan kami cukup rapi bagi saingan kali ini. Kami sedar status pilihan memberi sedikit tekanan tetapi kami sedia menghadapi setiap pasukan lawan," katanya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen

Baca Selanjutnya

Kejohanan Dunia: China goyang tanpa Yongbo

By Astro Arena 13 Ogos 2017. 8.43 PM