Adib Zainuddin tidak mahu skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara terus dibayangi keraguan ketika semangat memburu ibu segala emas Sukan SEA begitu membara walaupun majoriti pemain ketika ini kepenatan selepas saingan Liga Malaysia.

Kejayaan mereka melayakkan diri ke saingan Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan melenyapkan tanggapan negatif terhadap kemampuan skuad Datuk Ong Kim Swee dalam Sukan SEA kali ini.

Mengulas persiapan untuk temasya itu, Adib selaku kapten pasukan melihat banyak perkara positif muncul, terutama dalam persaingan merebut tempat dalam skuad.

"Kami bersaing dengan baik dan semua pemain inginkan kedudukan dalam pasukan ini. Jadi, saya rasa ia membuat pasukan Malaysia lebih kuat dan digeruni pasukan lain.

"Kami tahu ramai di antara kami bermain dalam Liga Malaysia dan ini mungkin sebagai tekanan bagi mereka.

"Bagaimanapun, mereka sangat profesional dan mahukan kejayaan manis dengan meraih emas Sukan SEA," katanya.

Adib ditemui selepas menjalani latihan bersama skuad muda negara di Pusat Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, semalam.

Skuad kebangsaan akan menentang Brunei pada 14 Ogos sebelum bertemu Singapura pada 16 Ogos ini.