Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, tetap akan memanfaatkan kelebihan format baru membabitkan dua pemain lebih usia selain memandang serius saingan yang akan diberikan pasukan lain dalam Sukan SEA 2019.

Meskipun bekas pengendali Harimau Malaya itu lebih cenderung mempercayai bakat pemain bawah 23 tahun, dia mempunyai perancangan berkaitan pemain senior yang akan dipanggil mengikut keperluan skuad kebangsaan.

Sehubungan itu, tempoh empat bulan sebelum menjelang temasya dwitahunan itu akan digunakan sebaik-baiknya dalam menstabilkan kekuatan dan kekurangan dalam kalangan barisan pemain.

Dalam masa sama, dia masih memantau persembahan pemain dalam kancah Liga Malaysia bagi memastikan pemilihan pemain yang tepat kelak.

“Jangka waktu masih panjang dan saya perlu menilai setiap pemain dalam skuad B-23 sebelum cuba mendapatkan pemain lain. Ia terpulang kepada posisi tertentu,” katanya.

Kim Swee menyasarkan pasukan kendaliannya itu ke peringkat lebih jauh, terutama untuk layak ke perlawanan akhir dalam Sukan SEA kali ini.

“Sudah tentu ini akan melibatkan pasukan lain yang bakal memberi cabaran sengit. Kami tahu Thailand merupakan juara bertahan sambil Vietnam baru-baru ini layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC,” katanya.