Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik perubahan format pertandingan dalam acara bola sepak Sukan SEA Filipina, November depan, yang membenarkan dua pemain senior beraksi bagi setiap pasukan.

Saingan bola sepak dalam temasya itu - yang sebelumnya dihadkan kepada pemain-pemain bawah 22 tahun (dilahirkan pada 1 Januari 1997 dan sesudahnya) -- dijangka lebih mencabar dengan perubahan berkenaan.

Selepas diluluskan oleh Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), peraturan baru itu membenarkan dua pemain lebih umur (dilahirkan sebelum 1 Januari 1997) untuk didaftarkan dalam setiap pasukan yang bertanding.

Ia sekali gus menjadikannya mirip dengan format yang digunakan dalam Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Sebagai rekod, ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, pernah menyenaraikan Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali sebagai pemain lebih umur dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

"Saya rasa untuk keseragaman dalam setiap temasya sukan, ia agak sesuai.

"Ia akan memberikan input pengalaman dan kepimpinan dalam setiap pasukan.

"Saya menyokong penambahan itu dan memang tiada isu mengenainya," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Dalam perkembangan lain, Stuart turut mengesahkan seorang daripada enam calon Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu telah menarik diri.

Perebutan kerusi itu adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pengadil FAM, Subkhiddin Salleh, yang meletakkan jawatan November lalu.

"Dengan ini, saya berasakan calon-calon yang tersenarai merupakan calon yang berkelayakan untuk memegang jawatan Exco FAM.

"Ia ialah pemilihan terbuka dan calon terbaik akan memenanginya," katanya.