Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhasrat mencanangkan format mengelak daripada bertembung dengan Thailand kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC) bagi undian acara bola sepak Sukan SEA, Ogos ini, selepas pilihan awal Malaysia mendapat bantahan Vietnam.

Vietnam mengemukakan bantahan rasmi kepada MASOC, termasuk Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) susulan Malaysia selaku tuan rumah dikatakan tidak mengikut ketetapan undian seperti temasya sebelum ini.

Mereka mendakwa MASOC memberi kebebasan kepada Malaysia untuk memilih mana-mana kumpulan tanpa mengikuti proses pengundian kumpulan bagi temasya dari 19 hingga 30 Ogos itu nanti.

Dalam masa sama, Thailand dan Myanmar yang tidak termasuk dalam undian kerana berstatus juara dan naib juara, dipisahkan dalam Kumpulan A dan B.

Mengundang rasa tidak puas hati Vietnam dan yang terbaru, Laos, FAM akan mengadakan mesyuarat bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan MASOC untuk memutuskan format undian kali ini.

"Kalau cadangan (undian) kami diterima semua pihak pada Isnin depan, tuan rumah dan juara bertahan Sukan SEA, Thailand, akan diletakkan dalam tabung undian yang sama," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Satu lagi bekas undian adalah pasukan Myanmar dan Vietnam.

"Bekas undian ketiga adalah Indonesia dan Singapura.

"Dalam bekas undian keempat peringkat kumpulan adalah Kemboja dan Laos.

"Dan bekas undian terakhir yang juga yang kelima adalah Filipina, Brunei dan TimorLeste," kata Hamidin yang ditemui dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitrinya bersama penggiat bola sepak tanah air di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir jurulatih negara, Nelo Vingada, jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, dan beberapa jurulatih pasukan negeri dan kelab.