Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Noel Le Graet, mengalu-alukan hasrat Kylian Mbappe untuk tampil dalam Sukan Olimpik.

Perancis layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 susulan kejayaan menjangkau separuh akhir Kejohanan Euro B-21 yang sedang rancak di Itali.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu dinaikkan pangkat ke skuad senior dalam masa yang singkat dan tidak pernah mewakili pasukan B-21.

Namun, sebaik Perancis mengesahkan tempat di Tokyo tahun depan, dia memberi isyarat sedia tampil dalam temasya sukan terbesar itu dengan memuat naik mesej di media sosial yang hanya tertulis: "TOKYO 2020."

Dalam lawatannya ke Jepun, Mbappe juga meluahkan keinginannya itu setelah memenangi Piala Dunia di Russia, tahun lalu.

"Saya masih perlu memenangi Kejohanan Euro di samping Perancis tetapi saya juga ingin bermain dalam Sukan Olimpik," katanya.

"Mengapa tidak saya menyertai Sukan Olimpik tahun depan? Saya selalu mengatakan bahawa ia adalah impian saya tetapi keputusannya bukan terletak kepada saya sahaja."

Kesediaan Mbappe itu menimbulkan persoalan kepada FFF memandangkan dia tidak pernah memainkan peranan dalam kelayakan Sukan Olimpik.

Namun, Le Graet memberi isyarat nama Mbappe akan dipertimbangkan meskipun temasya Olimpik Tokyo 2020 akan menyusul selepas Euro 2020.

"Ia satu tindakan baik kerana Kylian telah memaklumkannya," kata Le Graet kepada Le Parisien. "Ini menunjukkan bahawa dia berminat mewakili Perancis di pelbagai peringkat umur, khususnya Sukan Olimpik. Sekali lagi, ia suatu perkembangan yang bagus.

"Langkah pertama yang akan dilakukan, saya akan bertemu dan bertanyakan (jurulatih B-21 Perancis) Sylvain Ripoll. Keputusan itu terletak di tangannya.

"Mari kita memberi tumpuan kepada pasukan yang baru sahaja mengharungi perlawanan getir dan layak ke separuh akhir Euro B-21. Buat masa ini, saya lebih suka kita bercakap tentang pasukan B-21."

Setiap pasukan kebangsaan dibenarkan menyenaraikan tiga tonggak senior dalam Sukan Olimpik, namun Le Graet menolak cadangan membabitkan pemenang Piala Dunia seperti Paul Pogba dan Antoine Griezmann.

"Tidak, ia tidak realistik," katanya. "Pemain yang mengharungi proses kelayakan lebih layak. Kami boleh menurunkan pasukan yang berbeza tetapi untuk Sukan Olimpik, ia sesuatu yang akan mengejutkan saya."