Pengurus skuad B-23 kebangsaan, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menyambut baik perubahan jadual acara bola sepak Sukan Asia 2018 buat kali ketiga yang kini memberi ruang buat pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu melakukan perancangan lebih tersusun sebelum ke Indonesia.

Semalam, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) melakukan undian semula bagi acara bola sepak Sukan Asia buat kali ketiga selepas Iraq mengambil keputusan menarik diri.

Undian semula menyaksikan Malaysia kekal dalam Kumpulan E tetapi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipindahkan ke dalam Kumpulan C.

Jadual sebelum ini menyaksikan Malaysia dijadualkan beraksi seawal 10 Ogos, namun undian baru membolehkan perlawanan pertama Kumpulan E berdepan Kyrgyzstan diadakan pada 15 Ogos, sekali gus mewujudkan kemungkinan skuad negara akan menjalani satu lagi aksi persahabatan di Kuala Lumpur selepas pertemuan dengan China, esok.

"Jurulatih serta pemain-pemain kini berada di China. Perancangan sebelum ini menyaksikan mereka akan terus ke Indonesia tetapi kini mungkin akan wujud satu lagi aksi persahabatan di Malaysia memandangkan mereka akan pulang semula ke sini terlebih dahulu," kata Yusoff.

Sementara itu, Kim Swee turut menyambut baik perubahan jadual kali ini yang disifatkan sebagai sesuatu yang memihak skuad negara.

"Ia tiada banyak perbezaan melainkan kami hanya kekurangan satu perlawanan. Cabaran masih getir buat kami. Tanpa UAE, pasukan lain juga perlu dihormati, iaitu Korea Selatan, Kyrgyzstan serta Bahrain.

"Kami juga tidak boleh mengambil mudah setiap perlawanan," ujar Kim Swee.