Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menegaskan beliau kekal dengan perancangan membabitkan aksi persahabatan dengan China dan Arab Saudi -- walau apa pun keputusan INASGOC, OCA dan AFC.

Individu yang paling terkesan dengan kemelut undian semula bola sepak dalam Sukan Asia sudah pasti adalah Kim Swee yang telah membuat perancangan rapi sebelum menghadapi saingan di Indonesia.

Tegas Kim Swee, walau apa pun keputusan daripada INASGOC dan AFC, beliau tetap akan meneruskan pelan aksi persahabatan dengan Arab Saudi dan China sebelum berlepas ke Indonesia pada 12 Ogos depan.

"Saya rela mengikut jadual yang telah disediakan, terpulang kepada China dan Arab Saudi untuk bertemu kami mahupun sebaliknya," kata Kim Swee.

Dalam masa sama, perubahan format juga akan mempengaruhi saingan Sukan Asia kali ini selepas pertambahan dua pasukan menjadikan jumlah keseluruhan yang bertanding sebanyak 26 pasukan.

"Jika hadirnya penambahan pasukan dalam saingan ini, ia akan melihat perubahan format menyaksikan berapa pasukan yang bakal layak ke pusingan seterusnya dan ia perlu kami ketahui sebelum kejohanan bermula."

"Pengundian perlu dilakukan selepas dua pasukan yang bakal bersaing dalam Sukan Asia. Malaysia telah menjalani persediaan untuk bertemu lawan yang telah diketahui berdasarkan undian sebelum ini," kata pengurus skuad B-23 tahun, Datuk Wira Yusoff Mahadi.