Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, akur dengan undian bola sepak Sukan Asia Indonesia bulan depan walaupun skrip sama berulang menyaksikan pasukannya sekali lagi berdepan pasukan handalan Asia dalam saingan peringkat kumpulan.

Skuad muda negara berdepan laluan berliku dalam Kumpulan E untuk tampil selaku pasukan digeruni dalam temasya sukan itu.

Ini susulan Malaysia sekali lagi terpaksa berdepan Korea Selatan, lawan yang sama ketika temasya empat tahun lalu di Incheon.

Selain juara bertahan itu, skuad Kim Swee juga akan bertemu dua pasukan handalan, iaitu Bahrain dan Kyrgyzstan.

"Ini satu cabaran yang cukup besar buat pemain dan saya harap kami mampu melangkah ke peringkat seterusnya di mana tiga pasukan terbaik boleh melayakkan diri," kata Kim Swee.

Ini bermakna Kim Swee juga terpaksa membatalkan perancangannya untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang Bahrain, bulan depan, selepas kedua-dua pasukan diundi dalam satu kumpulan.

"Kalau kami satu kumpulan dengan salah sebuah pasukan, sama ada Bahrain atau Arab Saudi, kami akan batalkan perlawanan tersebut.

"Kami harap dapat melihat jadual perlawanan dengan lebih awal supaya kami dapat mengatur perlawanan persahabatan secepat mungkin," katanya lagi.

Kumpulan E

Malaysia
Bahrain
Korea Selatan
Kyrgyzstan