Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, mengekalkan 17 daripada 24 pemain yang beraksi dalam Kejohanan AFC B-23 2018 untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan bermula 30 Julai ini sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia di Indonesia, bulan depan.Kim Swee mengekalkan 17 pemain daripada skuad 23 pemain yang membawa Malaysia mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.

Syafiq Ahmad (JDT), Faisal Abdul Halim (Pahang), Rodney Celvin Akwensivie (PKNS FC) dan penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil (Kuala Lumpur) merupakan empat pemain baharu yang tersenarai manakala Baddrol Bakhtiar (Kedah), Rizal Ghazali (Kedah) dan Aidil Zafuan Abd Radzak (JDT) mengisi slot kuota tiga pemain lebih usia.

Bagaimanapun, daripada 24 pemain ini, hanya 20 pemain terbaik akan berada dalam senarai akhir pendaftaran pemain ke Sukan Asia.

Sementara itu, enam pemain diletakkan dalam senarai menunggu jika ada mana-mana di kalangan 24 pemain di atas mengalami kecederaan.

Adib Zainuddin (JDT II), Akhyar Rashid (Kedah), R. Kogileswaran (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor) merupakan baki pemain daripada skuad ke Kejohanan AFC B-23.

Senarai 30 nama pemain ini telah dihantar untuk pendaftaran awal ke Sukan Asia 2018 dan tiada sebarang pemain lain (di luar daripada senarai 30 pemain ini) boleh diganti masuk ke dalam senarai 20 pemain terakhir nanti.

Kim Swee menjelaskan pemilihan pemain-pemain yang bakal beraksi dalam Sukan Asia ini berdasarkan prestasi semasa dalam saingan Liga Malaysia dan berharap pemain berpengalaman yang mengisi kuota pemain lebih usia mampu memperkuatkan pasukan.

“Selepas melapor diri di Wisma FAM pada 30 Julai, kita akan terbang ke Changzhou, China pada 2 Ogos bagi menghadapi perlawanan persahabatan bertemu China B-23 pada 5 Ogos dan kembali ke tanah air pada 6 Ogos.

“Kemudian kita akan meneruskan kem latihan di Wisma FAM dan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi B-23 di Kuala Lumpur pada 9 Ogos. Jika mengikut jadual asal Sukan Asia 2018, kita akan terbang ke Indonesia pada 12 Ogos sebelum perlawanan pertama yang dijadual pada 14 Ogos.

“Senarai 24 pemain yang saya pilih ini adalah berdasarkan prestasi semasa mereka dalam saingan Liga Super dan Liga Premier, serta penilaian ketika kem latihan skuad B-23 kebangsaan sebelum ini serta prestasi pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe.

“Bagi kuota pemain lebih umur pula, saya melihat Baddrol sebagai seorang pemain yang serba boleh dan mampu beraksi di banyak posisi, Aidil pula kepimpinan dan pengalamannya diperlukan bagi mengemudi barisan pertahanan manakala Rizal boleh beraksi di pertahanan kanan dan sayap kanan serta juga merupakan pemain yang berpengalaman. Begitu juga Shahrul yang berada dalam senarai menunggu,” kata Kim Swee.

Sumber: FAM