Perancang baru Barcelona, Frenkie de Jong, mengalu-alukan spekulasi kepulangan Neymar ke juara LaLiga itu.

De Jong, 22, menyertai Barca daripada Ajax dengan perpindahan yang dilaporkan bernilai €75 juta (RM346.2 juta) Januari lalu, namun hanya menyertai pasukan itu selepas tamat musim.

Neymar dilaporkan sudah memberitahu Paris Saint-Germain (PSG) untuk meninggalkan pasukan itu dalam jendela perpindahan kali ini, dua tahun selepas menyertainya daripada Barca dengan rekod perpindahan termahal dunia €222 juta (RM1.03 bilion).

Kelab Catalan itu dilihat berminat untuk membawa semula bintang Brazil itu ke Camp Nou dan De Jong berasa gembira andai berpeluang untuk beraksi bersama penyerang itu.

"Sudah pasti saya mahu beraksi bersama Neymar," katanya kepada SPORT.

"Saya berasakan dia pemain yang hebat, namun ia bukan pilihan saya untuk dia berada di Barcelona atau tidak."

De Jong akan ditugaskan untuk menjana serangan pasukannya dalam musim 2019-20, dengan diketuai oleh Lionel Messi dan pemain kebangsaan Belanda itu tidak sabar untuk bergandingan dengan pemain terbaik dunia itu.

"Saya fikir dia pemain terbaik di dunia.

"Saya tidak sabar untuk beraksi dengan semua pemain, bukan Messi sahaja," tambahnya.

Barca pernah dikaitkan untuk mendapatkan bekas rakan sepasukan De Jong di Ajax, Matthijs de Ligt, namun pemain berusia 19 tahun itu memilih untuk bersama Juventus dalam Serie A.

De Jong berkata dia amat gembira andai bekas rakan sepasukannya itu menyertainya di Barcelona, namun percaya De Ligt sudah melakukan langkah yang positif.

Ditanya sama ada dia kecewa dengan keputusan itu, De Jong berkata: "Tidak, saya tidak kecewa. Langsung tidak.

"Sudah pasti saya akan lebih gembira jika dia memilih Barcelona, namun itu keputusannya dan dia melakukan keputusan itu dengan keluarga, ejen dan teman wanitanya.

"Saya gembira untuknya.

"Dia melakukan langkah yang hebat.

"Saya mahu menyaksikan dia di Barcelona, namun Juventus perpindahan yang baik untuknya," katanya lagi.