Luis Suarez mengalu-alukan Neymar kembali ke Barcelona sambil menyorot bahawa salah satu musim terbaik dalam kariernya adalah ketika bergandingan di samping pemain Brazil itu dan Lionel Messi.

Neymar, 27, dikaitkan dengan kepulangan ke juara LaLiga itu, dua tahun selepas berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG) dengan yuran €222 juta (RM1 bilion).

Bintang Selecao itu menghabiskan tempoh empat musim di Barca, termasuk meraih gelaran 'treble' pada 2014-15 sebelum beralih angin.

Suarez mengakui gembira sekiranya Neymar, yang sedang berehat ekoran kecederaan pergelangan kaki, kembali ke Camp Nou.

"Saya mempunyai detik istimewa dapat memenuhi salah satu tahun terbaik dalam karier sebagai pemain Barcelona, iaitu berkesempatan bergandingan dengan pemain terbaik dunia, Messi, dan yang kedua terbaik, Neymar," kata pemain antarabangsa Uruguay itu kepada RAC1.

"Bagi saya, ia adalah salah satu detik terbaik saya, iaitu memenangi 'treble'."

Suarez menambah: "Siapa yang tidak mahukan pemain seperti Ney?

"Begitupun, dia milik PSG dan perkara seperti ini sering menjadi topik dalam pasaran."

Dalam masa yang sama, jurucakap Barca, Josep Vives, menjelaskan mereka mahu mengelakkan diri daripada terjebak dalam "perangkap".

"Ini sesuatu yang kami enggan terjebak.

"Ketika ini, dia adalah pemain PSG dan kami tidak perlu bercakap mengenainya," katanya melalui Marca.