Denis Suarez mengesahkan dia mahu meninggalkan Barcelona, namun memilih untuk kekal beraksi dalam LaLiga.

Suarez, 25, bergelut untuk mengukuhkan tempatnya di Barca sejak kembali ke pangkuan kelab itu pada 2016 dan menghabiskan separuh kedua musim lalu dengan dipinjamkan ke Arsenal.

Bekas pemain tengah Villarreal itu, yang berperang dengan kecederaan kelangkang pada penghujung musim 2018-19, mengesahkan keinginannya untuk meninggalkan juara LaLiga itu.

"Apa yang saya mahukan ialah meninggalkan Barca dan beraksi," katanya kepada El Larguero.

"Sasaran saya ialah untuk kekal dalam liga Sepanyol.

"Saya sudah dua bulan menjalani pemulihan di Barcelona dan tiada seorangpun daripada mereka memberitahu saya apa-apa," katanya.

Suarez, yang masih mempunyai kontrak di Camp Nou hingga 2021, dikaitkan dengan perpindahan ke Valencia.

Pemain yang pernah sekali menyarung jersi Sepanyol itu kelihatan berminat untuk kembali bersatu dengan Marcelino -- jurulatihnya di Villarreal yang kini mengemudi Valencia.

"Marcelino jurulatih terbaik yang pernah saya ada dan saya sering mendapatkan pandangannya.

"Ia tidak benar tentang saya menolak tawaran Valencia.

"Valencia tidak pernah berminat untuk mendapatkan saya seperti yang mereka lakukan ketika ini," tambahnya.