Suarez kembali, Umtiti rehat enam minggu

Oleh Staff Writer 14 September 2019 190
Suarez kembali, Umtiti rehat enam minggu
Luis Suarez hampir pasti untuk kembali daripada kecederaan selepas disenaraikan dalam skuad Barcelona untuk menentang Valencia dalam LaLiga, namun Samuel Umtiti akan direhatkan.

Juara LaLiga itu akan bertemu seteru yang menewaskan mereka dalam final Copa del Rey musim lalu itu di Campu Nou awal pagi esok selepas hanya memperoleh empat mata daripada tiga perlawanan pertama musim ini.

Suarez beraksi dalam perlawanan permbukaan menentang Athletic Bilbao, namun terpaksa dikeluarkan pada minit ke-37 gara-gara kecederaan betis.

Penyerang itu kemudian direhatkan ketika Barca menewaskan Real Betis dan seri 2-2 dengan Osasuna sebelum waktu rehat antarabangsa lalu.

Namun, pengendali pasukan itu, Ernesto Valverde, mengesahkan dalam sidang media sebelum perlawanan bahawa Suarez akan kembali bersama pasukannya dan pemain berusia 32 tahun itu telah dinamakan dalam senarai rasmi pemainnya bagi perlawanan berkenaan.

Biarpun kepulangan Suarez akan menambahkan kekuatan Barca, mereka menerima kejutan di bahagian lain apabila pertahan Perancis, Umtiti, mengalami kecederaan metatarsal ketika tugasan antarabangsa dan selepas menjalani ujian awal, pasukan itu mengesahkan pertahanan tengah berkenaan akan direhatkan selama enam minggu.

Barca juga akan turun tanpa khidmat kapten, Lionel Messi -- yang berkemungkinan akan turut terlepas kunjungan ke Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara Eropah akibat masalah betis berpanjangan -- dan Ousmane Dembele yang mengalami kecederaan paha.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen