GRANADA 2 BARCELONA 0

Luis Suarez berpandangan kekalahan 2-0 Barcelona di tangan Granada dalam saingan LaLiga adalah keputusan yang membimbangkan.


Jaringan daripada Ramon Azeez dan Alvaro Vadillo membenarkan Granada mendahului carta liga, sekali gus menambah krisis yang dihadapi Barca.

Mereka tanpa sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan di tempat lawan manakala mencatatkan permulaan terburuk dalam saingan liga sepanjang 25 tahun.

Walaupun gagal menampilkan aksi cemerlang, Barca hanya ketinggalan tiga mata daripada tangga teratas liga dan Suarez mahu skuad kendalian Ernesto Valverde itu segera bangkit.

"Ia merupakan kekalahan yang perit dan membimbangkan dan banyak perkara yang harus diperbaiki," katanya.

"Kami perlu lebih fokus untuk meningkatkan lagi mutu permainan.

"Selepas ketinggalan seawal minit kedua, ia menyukarkan kami.

"Barcelona perlu mempamerkan permainan yang lebih klinikal dalam perlawanan seterusnya jika mahu meraih kemenangan.

Suarez, bagaimanapun, berkata tidak sesuai untuk mempertimbangkan permulaan perlahan Barca berpunca daripada aksi hambar mereka pada penghujung musim 2018-19.

"Saya rasa tidak perlu untuk melibatkan perkara tahun lalu.

"Kami perlu menilai permainan kami serta apa yang diperlukan ketika berkunjung ke tempat lawan. Sememangnya agak membimbangkan kerana kami kurang berkesan di depan gol."