Luis Suarez marah apabila komitmennya terhadap Barcelona dipersoalkan setelah terlepas aksi final Piala Raja Sepanyol akibat pembedahan lutut.

Penyerang Uruguay itu memilih untuk menjalankan pembedahan di bahagian lutut kanan beberapa hari setelah disingkirkan Liverpool di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Ia bererti pemain berusia 31 tahun itu tidak beraksi dalam dua aksi terakhir LaLiga berdepan Getafe serta Eibar dan turut diketepikan daripada saingan final Piala Raja Sepanyol awal pagi semalam, di mana Valencia menjulang gelaran menerusi kemenangan 2-1.

Dilaporkan Suarez memilih untuk menjalani pembedahan bagi mendapatkan kecergasan menjelang aksi Copa America di Brazil dan tidak akan melakukannya jika Barca mara ke final Liga Juara-Juara tetapi dia menafikan dakwaan itu.

Dalam satu kenyataan menerusi media sosial, Suarez menyifatkan kekalahan di tangan Valencia sebagai hari penuh kesedihan dan kekecewaan tetapi menegaskan tetap berbangga dengan rakan sepasukan yang cuba menampilkan aksi terbaik bagi memberi kegembiraan kepada penyokong.

"Saya jarang menjelaskan perkara tentang saya yang menjadi perbualan ramai tetapi kali ini, saya melihatnya perlu kerana saya percaya banyak perkara yang diperkatakan mengandungi niat buruk serta mempersoalkan tahap profesional saya.

"Tahun ini, saya memulakan musim dengan masalah di bahagian tulang, di mana ia diketahui ramai dan hasil daripada kerja keras pihak perubatan kelab, saya dapat beraksi tanpa sebarang isu. Kepada mereka, terima kasih atas usaha anda.

"Sebab itu saya perlu jelaskan, terutama kepada mereka yang ingin menyakiti saya, bahawa kesakitan itu tiada kaitan dengan pembedahan yang perlu saya jalani kerana tisu lutut yang koyak itu berlaku ketika aksi bertemu Liverpool. Sebab itu saya perlu ke bilik pembedahan dan terlepas aksi final semalam.

"Saya telah menunjukkan sejak hari pertama tiba di kelab ini bahawa saya memberikan komitmen 100 peratus dan segalanya ketika latihan serta setiap perlawanan melibatkan lambang pasukan. Ini kerana ia menjadi impian saya untuk berada di sini!"