Stuart tunggu keputusan AFC

Oleh Staff Writer 22 April 2019 2050
Stuart tunggu keputusan AFC
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menunggu lampu hijau daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung venue perlawanan bagi aksi kedua play-off Piala Dunia bertemu Timor Leste.

Berikutan Stadium Perbandaran Dili yang tidak memiliki kriteria penganjuran perlawanan peringkat Asia, aksi timbal balik 11 Jun depan mungkin akan berlangsung di Malaysia.

FAM hanya menunggu keputusan AFC, yang khabarnya akan membincangkan isu itu bagi mencari jalan penyelesaian yang akan diputuskan dalam minggu ini.

"Selepas 30 April, kami akan mendapatkan maklumat mengenai ketersediaan stadium Timor Leste mencapai piawaian untuk menganjurkan perlawanan peringkat Asia ataupun sebaliknya," kata Stuart.

FAM bersedia dan menerima dengan terbuka andai pemilihan venue kekal di tempat yang sama, sama ada di Stadium Shah Alam mahupun Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Kami sudah menulis surat kepada pihak Timor Leste bagi menjelaskan mereka perlu membuat keputusan mengenai venue sebelum Selasa depan," tambahnya.

Dalam aksi kelayakan Piala Asia pada 2015, pertemuan Malaysia Timor Leste terpaksa dilangsungkan pada sebelah siang ekoran keadaan fasiliti Stadium Perbandaran Dili yang tidak sempurna.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen