Skuad Harimau Malaya bakal merintis ranjau berliku dalam saingan Piala Empat Negara, Mac depan, apabila sebuah pasukan yang pernah beraksi dalam Piala Dunia serta Piala Asia 2019 sudah sah mengambil bahagian.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, hari ini.

Dia menjelaskan salah satu pasukan yang terbabit telah beraksi dalam Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan dan difahamkan ia adalah New Zealand memandangkan jurulatih pasukan itu, Fritz Schmid, mempunyai hubungan baik dengan FAM selaku bekas pengarah teknikal badan induk itu.

Bagaimanapun, Stuart mengambil pendekatan berahsia, termasuk pengesahan penyertaan satu pasukan yang tewas dalam pusingan 16 Piala Asia 2019.

"Dalam fahaman saya, pasukan ini tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia dan berdepan pasukan kebangsaan. Mereka bukan skuad ternama Piala Dunia tetapi salah sebuah pasukan yang bersaing dalam Piala Dunia 2014 serta tewas dalam final play off Piala Dunia 2018," kata Stuart.

FAM kini hanya menunggu lampu hijau satu lagi pasukan yang masih beraksi dalam kempen Piala Asia selepas hasrat untuk mendapatkan pasukan India tidak kesampaian.

"Saya rasa jika kami bermain bola dan takut kepada keputusan, memang sukar untuk maju. Perbincangan pasukan dan kualiti pasukan telah diadakan dengan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe."

Kejohanan itu bakal menjadi medan terbaik buat Harimau Malaya melonjakkan kedudukan mereka ke ranking lebih baik menjelang kelayakan Piala Dunia 2022 pertengahan tahun ini.