Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, percaya pengalamannya dalam bidang korporat mampu memberi nilai tambah kepadanya untuk membawa perubahan positif dalam pengurusan pentadbiran badan induk itu untuk kemajuan bola sepak negara.

Stuart diumumkan sebagai setiausaha agung FAM yang baru semalam bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengosongkan jawatan itu selepas menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden FAM.

Pelantikan Stuart dibuat berdasarkan Artikel 61 Perenggan 1 dalam Statut FAM yang menyatakan bahawa jawatan berkenaan hendaklah dilantik oleh presiden.

Stuart menjadi pilihan untuk memegang jawatan itu berdasarkan pengalaman selama 10 tahun dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bersama organisasi tempatan dan antarabangsa.

Ia juga termasuk dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selain mempunyai pengalaman empat tahun dalam dunia korporat dan agensi sukan terbesar di dunia.

"Saya berasa bangga dan telah memberitahu ramai wartawan bahawa saya begitu menghargai pemilihan ini. Selepas enam tahun, saya kembali ke FAM," katanya.

Stuart memulakan tugas rasminya sebagai setiausaha agung FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini dan ia juga ibarat 'sirih pulang ke gagang' kerana beliau pernah menjadi ketua pegawai eksekutif Liga Super Malaysia (MSL) pada 2010 dan diberi mandat untuk merencana struktur FAM serta aspek komersial persatuan berkenaan.

"Kini saya balik ke FAM selepas enam tahun tidak berada di sini. Jadi, ia adalah satu kerja dan tanggungjawab yang berat. Jangkaan daripada seluruh rakyat juga sangat tinggi," ujarnya.