Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menyangkal dakwaan kapten futsal negara, Khairul Effendy Bahrin, bahawa mereka seolah-olah "dianaktirikan" susulan penangguhan penganjuran Liga Futsal Profesional Kebangsaan.

Khairul menyuarakan rasa tidak puas hati menerusi laman media sosial miliknya mengenai penangguhan liga berkenaan.



Dia mendakwa kelewatan itu menjejaskan persiapan skuad negara ke Kejohanan Futsal AFF, Oktober depan yang juga aksi kelayakan ke Piala Dunia Futsal 2020.

Stuart, bagaimanapun, menjelaskan penangguhan liga itu terpaksa dibuat kerana faktor bulan Ramadan selain mahu memenuhi keperluan penaja.

"Setiap pelan persediaan telah ditetapkan, semua sudah diluluskan. Kami mahu menegaskan FAM tidak mengetepikan futsal," kata Stuart.

FAM, bagaimanapun, tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Khairul selepas pemain itu telah memadamkan kenyataannya itu.

Liga yang dinamakan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) sebelum ini dijadualkan berlangsung bulan lalu, namun ditangguhkan ke 22 Jun ini.

"Dengan memastikan MPFL dianjurkan bermula bulan hadapan, ia merupakan langkah yang proaktif dan pelantar buat skuad kebangsaan berada di tahap yang terbaik."