Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Stuart Michael Ramalingam sebagai setiausaha agung FAM yang baru, bermula hari ini.

Pelantikan Stuart sebagai setiausaha agung FAM yang ke-10 adalah berdasarkan Artikel 61 Perenggan 1 dalam Statut FAM yang menyatakan bahawa setiausaha agung hendaklah dilantik oleh presiden.

Stuart, 41, menjadi pilihan untuk memegang jawatan itu berdasarkan pengalaman selama 10 tahun dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bersama organisasi tempatan dan antarabangsa, termasuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Beliau bermula pada 2008 apabila dilantik oleh FIFA sebagai ‘Professionalisation Consultant’ yang bertanggungjawab memberikan sokongan berterusan dan konsultansi kepada ahli-ahli gabungan FIFA dalam mewujudkan liga-liga baharu, mengemaskini pentadbiran persatuan negara serta menjadi perancang bagi program pendidikan pentadbiran FIFA (Futuro III).

Selepas empat tahun, Stuart dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Super League (MSL) pada 2010 dan diberi mandat untuk merencanakan struktur FAM and juga aspek-aspek komersial persatuan itu.

Pada 2012, Stuart menyertai pula AFC dengan memegang pelbagai jawatan pengarah di sana, termasuk Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC (termasuk Liga Juara-Juara AFC, Piala AFC dan kejohanan-kejohanan Futsal AFC), Pengarah Pemasaran dan juga Pengarah Tanggungjawab Sosial.

Selepas berkhidmat di pelbagai tahap organisasi bola sepak, Stuart kemudian menjadi konsultan kepada Dentsu Sports dan IMG, dua agensi sukan terbesar di dunia pada 2014.

Dengan pengalaman beliau di FIFA, AFC dan FAM serta pengalaman selama empat tahun dalam dunia korporat dan juga agensi sukan terbesar di dunia, Stuart dilihat sebagai calon paling sesuai untuk menjadi setiausaha agung FAM dan diyakini mampu membawa budaya korporat yang akan menjadi perubahan positif kepada FAM.

“Selaku presiden FAM, saya amat berharap agar beliau dapat menjalankan tugas dengan profesional dan penuh amanah demi memartabatkan bola sepak negara,” kata presiden FAM yang baru, Datuk Hamidin Mohd Amin.