John Stones meneruskan harapannya untuk menjulang Piala Dunia 2018 tetapi sedar Sweden akan memberikan cabaran getir dalam aksi suku akhir malam esok.

Pasukan bimbingan Janne Andersson itu terlebih dahulu mengesahkan tempat ke kelompok lapan terakhir selepas menundukkan Switzerland 1-0, Selasa lalu, selepas Emil Forsberg menjaringkan gol tunggal perlawanan dalam babak kedua.

Beberapa jam kemudian, The Three Lions menamatkan rentetan badi sepakan penalti apabila menewaskan Colombia setelah terikat 1-1 dalam masa sebenar di Moscow.

Stones, yang mempamerkan persembahan cemerlang di benteng ketika berdepan Colombia, mengimpikan kejayaan di pentas Piala Dunia tetapi tetap berwaspada dengan ancaman daripada Sweden.

"Saya sudah katakan daripada awal, saya mahu memenangi Piala Dunia. Saya bermimpi tentangnya," kata Stones.

"Itu yang kami mahu lakukan, hadir ke sini dan memenanginya.

"Saya dan England mahu menjulang Piala Dunia. Sudah lama sejak kali terakhir kami meraihnya. Kami mahu membuatkan orang ramai bangga apabila pulang, berbangga dengan skuad England.

"Kami hanya selangkah untuk melakukannya tetapi sedar beberapa perlawanan yang perlu ditempuhi. Kami harus fokus terhadap aksi berdepan Sweden.

"Ia bukan aksi mudah. Saya rasa jika anda menganggap perlawanan suku akhir satu benda yang mudah, anda agak bodoh. Mereka mempunyai banyak kualiti.

"Kami tetap menghormati mereka sama seperti pasukan lain. Kami mengkaji permainan mereka dan akan cuba mengambil kesempatan terhadap kelebihan yang ada," ujarnya.

England hanya memenangi tiga daripada 13 aksi kompetitif menentang negara Nordic sejak kali terakhir ke separuh akhir Piala Dunia pada 1990 walaupun sesetengah penyokong melihat Sweden sebagai pasukan yang lebih rendah.

"Saya ada terbaca tentangnya," ujar kapten Sweden, Andreas Granqvist.

"Sesuatu tentang bahawa mereka 99 peratus akan menewaskan kami. Ya, tentunya gembira apabila England memiliki keyakinan sebegitu. Ayuh berentap dan lihat apa yang berlaku.

"Semua tahu bahawa Sweden sering berdepan England dan kami meraih keputusan yang baik, jadi ia tidak menjadi masalah."

Sweden akan turun tanpa bek kanan, Mikael Lustig, yang digantung sementara England masih belum pasti dengan kecergasan Jamie Vardy selepas mengalami kecederaan sehingga menghalangnya daripada mengambil tugasan sepakan penalti sewaktu menentang Colombia.

PEMAIN TUMPUAN

Sweden - Marcus Berg


Masih belum menyerlah di Russia tetapi England seharusnya tidak memandang mudah kelibat pemain yang telah menyumbat 98 gol dalam 137 penampilan buat Panathinaikos dan Al Ain itu dalam tempoh lima musim.

England - Kieran Trippier

Kehadiran Harry Kane, Raheem Sterling dan Jesse Lingard dilihat menerima begitu banyak pujian tetapi pemain bek sayap ini jelas beraksi cemerlang di sepanjang kejohanan. Kemampuan bertahan, mampu menyempurnakan peluang menerusi situasi bola mati serta permainan terbuka ternyata menjadi senjatanya.