Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan perbincangan dengan pasukan Kedah mengenai situasi yang dihadapi ketua jurulatih Lang Merah, Tan Cheng Hoe, selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatannya, semalam.

"FAM berkemungkinan akan mencadangkan agar Cheng Hoe menyelesaikan tugas-tugasnya bersama Kedah sehingga berakhir kempen Lang Merah dalam saingan Piala FA dan tugas-tugas lain," kata FAM seperti dipetik dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, difahamkan setakat ini KFA masih belum menerima surat pelantikan ataupun permohonan rasmi Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih skuad negara.

Dalam satu kenyataan semalam, Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Mohd Hanipah, mengesahkan Cheng Hoe sudah memberikan notis penamatan kontrak pada 1 April lalu.

Selepas meneliti kandungan surat itu, KFA memutuskan untuk meminta Cheng Hoe mengemukakan surat tawaran rasmi daripada FAM mengenai pelantikannya sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan.

Selagi tiada permohonan rasmi daripada FAM, KFA tidak akan membuat apa-apa keputusan mengenai kedudukan Cheng Hoe dalam masa terdekat.

Sementara itu, Cheng Hoe dipetik sebagai berharap semua pihak, termasuk penyokong Kedah, memahami keputusannya untuk meletakkan jawatan bagi menyahut panggilan skuad Harimau Malaya.

Cheng Hoe bukan asing dalam mengendalikan pasukan kebangsaan di mana khidmatnya membantu pasukan muda cukup menyerlah.

Malah, ketika berpindah ke Kedah pada 2014, dia hanya memerlukan dua musim untuk memastikan Kedah menjulang Piala Malaysia.

Tan Cheng Hoe
Umur : 49 Tahun

Pencapaian terbaik:
• Jurulatih Terbaik 2016 (Kedah)
• Juara Piala Malaysia 2016 (Kedah)
• Juara Liga Perdana 2015 (Kedah)
• Emas Sukan SEA 2009 (Skuad Kebangsaan)
• Juara Piala AFF 2010 (Skuad Kebangsaan)