Stadium Al-Janoub cetus keterujaan Piala Dunia 2022

Oleh Staff Writer 17 Mei 2019 4513
Stadium Al-Janoub cetus keterujaan Piala Dunia 2022
Persiapan Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022 tampak berada di landasan tepat apabila berjaya menguji sebuah stadium bola sepak tercanggih yang dinamakan Stadium Al-Janoub semalam.

Nama Stadium Al-Janoub yang bermaksud 'stadium selatan' itu sebelum ini menggunakan nama Stadium Al-Wakrah sebagai stadium baru yang dibina di negara itu.

Direka oleh arkitek wanita tersohor kelahiran Iraq, Zaha Hadid, stadium bernilai RM2.3 bilion itu merupakan venue kedua Piala Dunia 2022 yang dibuka selepas Stadium Antarabangsa Khalifa pada 2017.

"Dengan menggunakan teknologi moden dan berkonsepkan masa depan, stadium yang mempunyai kapasiti 40,000 penonton itu pastinya menghadirkan keterujaan untuk menonton aksi Piala Dunia 2022," kata wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Nama baru stadium itu dicadangkan oleh Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani dalam aksi final Piala Emir 2019 di antara Al-Sadd dan Al-Duhail.

Rekaannya mirip bot tradisional nelayan Qatar yang dikenali dengan nama 'Dhow' sambil bumbungnya menggunakan 1,400 bahan khas yang dibawa dari Itali dan berkilauan seperti mutiara.

Pemain dan bekas pemain ternama dunia yang hadir sebagai tetamu memuji stadium itu dan menganggap ia sebuah binaan yang cantik.

"Saya rasa mereka telah memberikan sesuatu yang hebat kepada seluruh dunia. Qatar menjalankan usaha dengan baik, ia satu stadium yang sangat indah," ujar bekas pemain Belanda, Ruud Gullit.

"Ini sangat hebat dan indah. Di dalam stadium, segalanya jelas sangat sempurna," tambah bekas penjaga gol Mexico, Jorge Campos.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen