Dele Alli yang kecewa berasakan Tottenham dihukum kerana mensia-siakan pendahuluan mereka ketika tewas 2-1 kepada Manchester United dalam separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley, awal hari ini.

Spurs layak memimpin perlawanan pada minit ke-11 selepas Alli menerkam hantaran silang daripada Christian Eriksen.

Namun, gol daripada Alexis Sanchez dan Ander Herrera mengubah perlawanan dan menghantar United ke final, dengan Spurs kini tewas semua lapan penampilan terakhir mereka di peringkat suku akhir.

Skuad Mauricio Pochettino itu mengalami kekalahan yang sama di tempat sendiri kepada Juventus dalam aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara, dengan Giorgio Chiellini menggambarkan keputusan itu sebagai "sejarah Tottenham", sambil berkata "mereka selalu terlepas sesuatu pada detik akhir".

Dengan harapan meraih trofi pertama sejak 2008 berlanjutan ke musim lain, Alli mengakui sesuatu perlu diubah.

"Kami membiarkan diri kami rebah, ia sangat mengecewakan," katanya kepada BBC Sport. "Kami perlu mencuba menaikkan diri dan menamatkan musim dengan kuat.

"Kamu tidak boleh berada di depan 1-0 dan kemudian merudum 1-2 menentang pasukan seperti Manchester United. Kami tidak boleh meletakkan diri kami dalam situasi itu. Kami mendominasi sejak minit pertama.

"Setiap orang berbincang. Kami mahu memenangi trofi, kami mempunyai barisan kejurulatihan yang mahukan kemenangan. Kami tidak boleh terus melakukan ini. Kami tidak boleh membuang peluang. Kami perlu perbaiki," katanya.