SWANSEA 0 TOTTENHAM 3

Tottenham Hotspur memastikan mereka melangkah ke separuh akhir Piala FA apabila mencetak kemenangan 3-0 ke atas Swansea, sebentar tadi.


Swansea mengharapkan tuah dalam aksi pertama peringkat suku akhir selepas 54 tahun, bagaimanapun lawan mereka, Spurs mempamerkan aksi cemerlang dengan Mauricio Pochettino mahu memastikan kemenangan diraih dalam tempoh 90 minit.

Ketiadaan penyerang Harry Kane tidak menggugat persembahan Spurs, dengan Christian Eriksen muncul peledak jaringan pembukaan pada minit ke-11.

Ketika Swansea mencari gol penyamaan, Erik Lamela menggandakan jaringan buat pasukan pelawat pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Selepas perlawanan bersambung, Eriksen menjaringkan gol kedua peribadinya bagi memastikan Spurs mendahului perlawanan dengan tiga jaringan tanpa balas di Stadium Liberty.

Pemain kebangsaan Denmark itu terus ghairah mencari hatrik, namun tidak kesampaian tetapi memastikan kemaraan pasukannya ke separuh akhir serta kekal di landasan untuk menamatkan kemarau trofi sejak 2008.