Luciano Spalletti menandatangani kontrak baru selama tiga tahun untuk terus komited dengan masa depannya di Inter sehingga 2021, demikian kelab Serie A itu mengumumkan.

Bekas jurulatih AS Roma itu mengetuai Inter layak ke kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) pada hari terakhir musim lalu dengan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Lazio.

Dengan mengikat Radja Nainggolan, Lautaro Martinez, Stefan de Vrij, Sime Vrsaljko dan Keita Balde Diao, langkah itu meningkatkan suasana positif di San Siro menjelang sepak mula musim 2018-19.

Spalletti berulang kali berkata sepanjang penggal terakhirnya itu bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk memeterai kontrak baru, begitupun pengurus berusia 59 tahun itu kini bersetuju untuk melanjutkan perjanjiannya dengan kelab.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga Zhang dan kelab kerana memberi saya peluang untuk melanjutkan kontrak," kata Spalletti kepada laman sesawang rasmi Inter.

"Saya juga ingin menekankan bahawa tandatangan itu hanyalah pengesahan rasmi mengenai apa yang sudah ada kerana sememangnya menjadi hasrat saya yang tidak pernah ragu-ragu untuk terus berjuang bersama-sama demi kebaikan kelab besar ini.

"Kami sentiasa mempunyai hubungan berdasarkan rasa hormat dan kepercayaan bersama. Perbincangan harian jelas sekali membawa kami kepada kesepakatan untuk mencapai impian demi kelab ini dan peminatnya. Hari ini, kami bersama-sama memperkuatkan cita-cita kelab."

Spalletti mengesahkan minat Inter untuk memancing bintang Croatia, Luka Modric, bagi mencerahkan harapan mereka untuk merebut kejuaraan musim ini meskipun dia percaya bahawa pemenang Bola Emas Piala Dunia 2018 terbabit akan kekal bersama Real Madrid.