Luciano Spalletti yakin pasukan kendaliannya, Inter Milan, berada di landasan yang betul tetapi memberi amaran kepada pemainnya agar melawan sikap mudah berpuas hati menjelang pertembungan dengan Fiorentina, awal pagi esok.

Pemain tengah, Marcelo Brozovic, meledak gol pada masa kecederaan dalam kemenangan 1-0 ke atas Sampdoria, Sabtu lalu, hanya beberapa hari selepas jaringan penghujung permainan Matias Vecino ketika mengatasi Tottenham dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Keputusan itu meredakan ketegangan yang mula menyelubungi San Siro tetapi Spalletti menggesa para pemainnya supaya tidak bersikap terbawa-bawa menjelang kunjungan ke Viola.

Bercakap dalam sidang media sebelum perlawanan, beliau berkata: "Kami tahu kami telah keciciran beberapa mata. Kemudian, kami memenangi dua perlawanan di mana kami telah membuat langkah besar daripada segi konsistensi dan karakter.

"Begitupun, kami tidak boleh cepat berpuas hati, kami masih perlu mendorong ke arah objektif sebenar kerana kami berada dalam keadaan yang baik dan perlu meraih lebih banyak mata.

"Ia tidak akan mudah memandangkan Fiorentina mempunyai jurulatih yang hebat (Stefano Pioli), saya mengenali beliau dengan baik dan saya menyukai beliau.

"Beliau merupakan jurulatih pasukan moden. Mereka mencipta perpaduan dalam persekitaran itu.

"Mereka mempunyai (Federico) Chiesa yang mampu menjejaskan perancangan taktikal kerana dia benar-benar bagus dalam situasi satu lawan satu," katanya.

Spalletti telah dibuang padang susulan tindakannya meraikan gol pada Sabtu lalu sehingga menyebabkannya digantung satu perlawanan.

Semalam, kelab itu mengesahkan telah mengemukakan rayuan terhadap penggantungan Spalletti sambil mengatakan situasi itu meletakkannya dalam kedudukan yang sukar pada masa depan.

"Ia satu jaringan penting dan saya bertindak balas dengan cara yang saya lakukan tetapi saya fikir ini menghasilkan situasi yang sangat sukar," katanya.