Luciano Spalletti menafikan bahawa dia berada dalam laluan bagi mengambil alih jawatan ketua jurulatih Itali, sebaliknya menyokong Carlo Ancelotti untuk memegang tanggungjawab itu.

Skuad Azzurri sedang mencari pengendali baru selepas Gian Piero Ventura dipecat berikutan kegagalan pasukan kebangsaan untuk layak ke Piala Dunia tahun depan.

Itali tidak akan beraksi di Russia pada 2018 selepas tewas kepada Sweden dalam aksi play-off, bermakna juara dunia empat kali itu terlepas kejohanan buat kali pertama sejak 1958.

Spalletti tidak berminat dengan tugas itu tetapi dia percaya Ancelotti -- yang dipecat oleh Bayern Munich pada awal musim ini -- akan menjadi individu yang ideal bagi mengisi kekosongan itu.

"Saya mahu dan perlu bekerja dengan baik untuk Inter," kata jurulatih berusia 58 tahun itu kepada laman web rasmi Inter sebelum perlawanan menentang Atalanta dalam Serie A di laman sendiri.

"Saya melihat Ancelotti dapat melakukannya dengan baik, dia mempunyai karisma dan pengalaman.

"Semua orang menyedari kerjanya. Anda perlu melihat kepada pencapaian terbaiknya dan dia adalah individu terbaik," katanya.

Ketika Itali bukan hanya perlu mengenal pasti calon tepat bagi jawatan jurulatih, Spalletti menggesa untuk skuad itu membuat perubahan besar selepas mengharungi kempen kelayakan yang mengecewakan.

"Azzurri tidak harus bersembunyi daripada kekecewaan yang dikaitkan dengan pasukan kebangsaan, sebaliknya mereka memerlukan tindak balas," katanya.

"Kita tidak sepatutnya mempunyai kelemahan daripada segi karakter. Kita mesti bertindak balas.

"Gaya bola sepak kita mempunyai nilai tersendiri dan tidak perlu meniru model lain. Anda hanya perlu melihat masa lalu," katanya lagi.