Pengurus England, Gareth Southgate, sedia untuk menyenaraikan semula Raheem Sterling dalam kesebelasan utama susulan perbalahan penggempur itu dan Joe Gomez menjelang kunjungan ke Kosovo bagi aksi kelayakan Euro 2020, Ahad ini.

Sebagai hukuman akibat pergaduhan melibatkan Sterling dan pertahanan Liverpool, Gomez, dia bakal terlepas perlawanan menentang Montenegro awal pagi esok.

Kedua-dua pemain itu bertengkar ketika aksi Liga Perdana Inggeris di antara Manchester City dan Liverpool serta turut terlibat dalam perbalahan dalam kawasan rahsia di kem latihan England di St George's Park.

Tatkala dia bakal terlepas perlawanan ke-1,000 England di London, Sterling teruja untuk kembali memperkuatkan pasukan menjelang pertemuan dengan Kosovo bagi saingan Kumpulan A.

"Ya," kata Southgate ketika ditanya sama ada Sterling akan membarisi kesebelasan utama Ahad ini.

"Tanpa mengetahui apa yang berlaku esok, saya boleh lihat ia menjadi topik utama.

"Reaksi Sterling sangat baik. Dia bercakap dengan pasukan dalam keadaan baik dan berlatih dengan gigih. Saya tidak boleh menyalahkan reaksinya.

"Jadi, akan ada pemerhatian tentang di mana dia berada dan Sterling pasti memikirkan apa jawapan yang akan saya berikan kepada anda. Namun, daripada segi latihan dan pergaulan dengan pemain lain, saya gembira."

Ketika Sterling dijangka beraksi, Gomez masih belum pasti akan diturunkan dan perlu bersaing dengan Harry Maguire, Tyrone Mings dan John Stones untuk mengisi kesebelasan utama.

Southgate menambah: "Saya tidak akan memilih seluruh pasukan untuk dua perlawanan seterusnya tetapi apa sahaja keputusan dibuat, ia bukan kesan daripada insiden Isnin lalu.

"Gomez bersaing dengan tiga pemain hebat dan berpengalaman bersama kelab masing-masing. Namun, dia adalah pertahanan muda dan kami sentiasa memandang tinggi kepadanya selaku pemain dan perwatakan yang dimiliki. Dia berkembang dengan baik.

"Saya tahu dia mahu beraksi buat kami tetapi dia telah pun membuktikannya ketika berdepan Brazil dan Jerman bahawa dia mampu bersaing di peringkat tertinggi.

"Sudah tentu apabila anda tidak meraih minit permainan bersama kelab, lebih sukar terus menembusi skuad kebangsaan. Namun, ia tidak bermakna kami hilang kepercayaan terhadapnya dan sebab itu kami tetap menyenaraikan Gomez."