Gareth Southgate telah lama percaya England boleh bermain secara teknikal dan menguasai bola di pentas terbesar -- kini mereka harus membuktikannya dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Tunisia di Volgograd Arena, awal pagi esok.

Bekas pertahanan tengah Aston Villa, Middlesbrough dan England, Southgate, mengambil alih teraju pasukan kebangsaan selepas Sam Allardyce dipecat pada 2016.

Southgate tidak memegang jawatan jurulatih senior sejak dipecat oleh Boro pada 2009 tetapi jurulatih berusia 47 tahun itu diberi tugas mengendalikan skuad bawah 21 tahun England sebelum mengambil alih tugas Allardyce.

Dia membawa pasukan England ke Russia dengan lebih berkeyakinan dan ia dapat dilihat daripada gaya permainan mereka selepas menggunakan formasi 3-1-4-2 yang fleksibel.

"Pemain benar-benar merasainya, saya fikir mereka suka bermain menguasai bola," kata Southgate dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Itulah cara mereka bermain dengan kelab mereka walaupun ada perbezaan arahan taktikal di antara setiap jurulatih.

"Mereka mempunyai nafsu untuk memberi tekanan dan memenangi bola. Mereka mahu bermain dengan berani dan menjadi pasukan berani menyerang.

"Itulah cara yang saya mahukan dan itulah sebab saya menyertai FA sebagai jurulatih bawah 21 tahun. Saya percaya pemain muda Inggeris boleh menunjukkan sesuatu yang berbeza.

"Terdapat persepsi di seluruh dunia dan persepsi tentang bola sepak Inggeris. Saya fikir tidak mustahil untuk mengubahnya."