Pengurus England, Gareth Southgate, mengesahkan telah mula berbincang mengenai lanjutan kontrak bersama The Three Lions tetapi menegaskan perkara itu bukan keutamaannya ketika ini.

"Pada waktu ini, kami telah memulakan perbincangan awal," kata Southgate.

"Itu sahaja. Bagi saya, fokus terhadap tugas yang diberikan lebih penting. Saya memiliki baki kontrak selama 22 bulan.

"Saya tidak mahu mendedahkan maklumat terperinci kerana ingin mengelakkan gangguan di atas padang. Fokus utama saya ketika ini adalah aksi persahabatan berdepan Switzerland awal pagi esok, kemudian membina pasukan ini untuk bersaing pada tahap tertinggi."

England, yang akan turun menentang Switzerland di Stadium King Power awal pagi esok, mahu mencipta kebangkitan setelah tewas 2-1 di tangan Sepanyol dalam perlawanan pertama Liga Negara-Negara UEFA kelmarin, sekali gus mencatat kekalahan sulung dalam saingan kompetitif di Wembley sejak November 2007.

Kekalahan di tangan barisan kendalian Vladimir Petkovic itu bakal membuatkan mereka menggigit jari dalam empat aksi berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah selepas tewas di tangan Croatia dan Belgium dalam Piala Dunia.

Bagaimanapun, Southgate tidak memikirkan tentang rekod itu dan bercadang untuk melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama bagi memberi ruang kepada pemain lain.

"Fokus akan terarah kepada saya dan saya tidak menghiraukannya. Saya tidak akan melakukan pertukaran untuk memperbaiki rekod kemenangan saya," ujar Southgate.

"Pada musim panas lalu, kami bertemu Brazil, Jerman, Perancis dan Sepanyol. Jika ia hanya melibatkan rekod kemenangan saya, saya mungkin akan membuat keputusan itu. Peningkatan pasukan lebih penting buat saya, termasuk memberi pemain-pemain menimba pengalaman.

"Saya tidak kisah jika orang ramai bercakap mengenai rekod saya, penyingkiran atau apa sahaja. Keutamaan ketika ini adalah membangunkan skuad England.

"Kami sentiasa mahu memenangi perlawanan dan tidak menerima sesuatu kekalahan tetapi saya tidak boleh melakukan keputusan hanya untuk menang. Kami harus fokus kepada proses dan mengawal keadaan. Ramai pemain yang tidak beraksi dalam saingan liga di peringkat kelab tetapi tugas saya adalah memberikan mereka ruang beraksi."

Kyle Walker, Kieran Trippier dan Harry Kane tersenarai dalam 55 calon untuk membarisi Kesebelasan Terbaik FIFA FIFPro selepas mempamerkan aksi hebat di peringkat kelab serta saingan Piala Dunia sejak setahun lalu.

Southgate jelas gembira dengan pencapaian yang diraih tiga pemain itu tetapi berpendapat benteng Leicester City, Harry Maguire, juga berhak berada dalam senarai itu.

"Agak memeranjatkan apabila Maguire tiada," ujar Southgate.

"Ia merupakan satu persembahan hebat daripada pasukan dan wujud beberapa aksi individu yang memukau walaupun ada yang tampil pada usia yang muda. Saya gembira dengan mereka dan percaya pemain-pemain akan sedar akan sumbangan yang telah diberikan kepada pasukan."