Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, berhati-hati untuk menggunakan khidmat Pape Souare selepas pemain pertahanan itu kembali ke pentas bola sepak kompetitif ketika menewaskan Huddersfield 1-0 dalam Piala EFL di Selhurst Park, awal pagi tadi.

Pada September 2016, pemain antarabangsa Senegal itu mengalami patah kaki dan rahang selepas terlibat dalam kemalangan kereta di lebuh raya.

Souare pada mulanya dijangka berehat kira-kira enam bulan tetapi dia kembali ke sesi latihan penuh bulan lalu bagi mendapatkan kembali kecergasan penuhnya.

Dan pemain berusia 27 tahun itu meletakkan ke tepi sesi pemulihan panjangnya apabila tampil di Selhurst Park untuk membantu Palace meraih kemenangan pertama buat Hodgson selaku pengurus.

"Saya gembira dengan Souare tetapi kami akan berhati-hati dengannya selepas setahun tanpa bola sepak," kata Hodsgon.

"Dia akan terus berkembang dan menjadi lebih baik."

Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan oleh pemain tengah, Bakary Sako, pada minit ke-13.