Ole Gunnar Solskjaer mahu menggunakan kemenangan Manchester United ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara (UCL) sebagai pencetus inspirasi kepada pasukannya apabila bakal berhitung dengan Manchester City dalam Piala Liga Inggeris (EFL).

United akan memasuki perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Etihad itu dengan defisit 1-3.

Ia masalah yang sama yang ditempuhi ketika mereka bertemu PSG, Mac tahun lalu, apabila memadamkan kekalahan dalam pertemuan pertama di tempat sendiri untuk mara dalam saingan Eropah itu.

Begitupun, bekas penyerang itu sedar The Red Devils memerlukan persembahan sempurna seandainya berhajat untuk mengulangi pencapaian itu dengan mengambil inspirasi daripada pertemuan PSG berkenaan selain kemenangan 'derby' 2-1 ke atas seteru setempat tersebut dalam pertembungan EPL bulan lalu.

"Ia kelihatan seperti sudah berakhir dalam separuh masa pertama," katanya mengenai pertemuan pertama sebelum ini.

"Saya perlu mengatakan bahawa mereka membuatkannya menjadi sukar pada penghujung babak pertama itu tetapi kami kembali menghidupkan perlawanan sebaik mencetak gol.

"Kami mengharapkan satu lagi (persembahan seperti itu) dengan mengimbas semula perlawanan bertemu PSG.

"Kami pernah melakukannya ketika bertemu pasukan yang bagus sebelum ini dan ia memberi kami harapan, begitu juga perlawanan bulan lalu (menentang City).

"Kami tidak boleh hanya bertahan, kami perlu cuba menguasai bola dan membuatkan mereka berlari menghambat bola.

"Ia harus menjadi persembahan yang sempurna tetapi kami pernah melakukan perkara-perkara yang luar biasa di kelab ini dan ketika bertemu PSG.

"Bagi saya, ia satu contoh yang sangat baik tentang bagaimana anda boleh memadam defisit dua gol demi kepentingan sendiri. Kami memerlukan jaringan pertama."

Pengendali berbangsa Norway itu, bagaimanapun, mengakui kemenangan United ke atas City di Etihad yang lalu adalah situasi yang berbeza.

Tambahnya: "Pemain mereka yang tercedera telah kembali. Kali terakhir kami menewaskan mereka ialah tatkala mereka sedikit bergelut dan sejak itu mereka mula beraksi dengan sangat baik.

"Kami pula masih kehilangan Scott (McTominay) dan Marcus (Rashford), jadi kami kurang menyerlah di bahagian itu.

"Ia harus menjadi persembahan yang sempurna demi memburu kemenangan, apatah lagi ketinggalan dua gol untuk bertemu sebuah pasukan mantap yang akan beraksi di gelanggang sendiri.

"Bagi kami, ia bukan mengenai jaringan di tempat lawan, sebaliknya kami hanya perlu menjaringkan dua gol lebih banyak berbanding mereka.

"Adalah baik untuk tidak dibolosi terlebih dahulu kerana itu akan menjadikan situasi bertambah sukar."



Editor: Shaiful Shamsudin